Feb 4, 2014

Percaya Pada Allah Dan Kamu Tidak Akan Kecewa

Percaya pada Allah .... dan kamu tidak akan kecewa... dengan syarat kamu berdoa dan berserah sepenuhnya kepada Dia. Allah suka kepada hambaNya yang selalu berdoa meminta. Oleh itu, tunjuklah kesungguhan kita untuk memiliki sesuatu dengan sentiasa berdoa.. kerana hanya Dia lebih tahu waktu yang tepat untuk dimakbulkan doa hamba-hambanya...

Bila kita berhadapan dengan masalah, pasti akan rasa tertekan, kecewa, marah dan macam-macam perasaan lagi. Sebaik-baiknya kita elakkan dari mengadu dan melepaskan kepada manusia, tetapi berserahlah kepada Dia. Menangislah di atas sejadah, dengan memohon ampun di atas dosa-dosa yang lampau. Mungkin dengan dosa-dosa lalu hidup kita dihimpit rasa ketidaksempurnaan yang kita sendiri wujudkan. Merataplah pada Dia, mohon dengan bersungguh-sungguh... sehingga kita rasa puas. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar ...  Cubalah untuk membetulkan keadaan diri, cuba perbaiki kelemahan. Yakin dan Redha dengan ketentuanNya.

Kita bukan nabi yang bersifat maksum. Kita masih dan sentiasa berdosa. Walau siapa pun kita, yakin lah dengan Allah! Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahNya. Allah tidak akan menjadikan sesuatu perkara itu tanpa sebab. Kerana Dia Maha Mengetahui. Dia Perencana Terhebat... dan ingatlah Dia Maha Agung!